Thursday, April 11, 2013

Ratu Pecut MSS Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Rekod baru acara 100 meter perempuan dengan masa 12.28 saat dicatat atlet kebangsaan Mahafizatul Abdul Manaf pada hari pertama Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Kejayaan itu memadam rekod lama kejohanan 12.50s kategori Bawah 18 Tahun miliknya yang turut bersaing dalam acara 200m dan 4x100m mewakili kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kuantan.

Tempat kedua milik atlet MSS Bera Nurul Asikin Zainuddin (12.94s) dan ketiga, Najiha Ibrahim (13.05s) mewakili MSS Maran.

Mahafizatul berkata, latihan secara berterusan menjadi antara faktor membantunya melakar kejayaan membanggakan pada kejohanan MSSP kali ini.

Menurutnya, selepas mencatat keputusan terbaik dalam acara 100m, kini tumpuan beralih kepada usaha menambah kilauan emas 200m dan 4x100m.

“Saya harap impian merangkul tiga pingat emas menjadi kenyataan terutama selepas lapan tahun mewakili MSS Kuantan pada kejohanan balapan dan padang MSSP.

“Kejayaan pada saingan MSSP mencerahkan peluang saya mewakili MSS Pahang pada kejohanan balapan dan padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Mei ini,” katanya yang kini belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Lebih 200 atlet dari 11 daerah bersaing dalam 29 acara tiga kategori iaitu B-12, 15 dan 18 bagi merebut 264 pingat.

Selepas dua hari kejohanan berlangsung, tiga rekod baru berjaya dicatat, 100m wanita B-18, lontar peluru wanita B-18 dan 200m lari berpagar lelaki B-15.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RatuPecutMSSPahang//Article/index_html

No comments:

Post a Comment