Monday, June 13, 2011

Norzilawati, Clement Atlet Terbaik Sipma






ATLET Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Nik Norzilawatie Nik Wil dinobat Olahragawati
Sipma 2011 selepas cemerlang mencipta rekod baru 800m dan 1,500m pada temasya yang berakhir
semalam.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil berusia 16 tahun itu membuktikan kehebatannya apabila menewaskan
 atlet bawah 23 tahun lain yang mengambil bahagian.

Anak kesembilan daripada 11 beradik berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu berazam mewakili negara
di pentas antarabangsa.

Manakala atlet renang Masum, Clement David Leong merangkul gelaran Olahragawan selepas meraih
enam pingat emas.

Atlet berasal dari Sabah itu memecahkan tiga rekod kejohanan acara 100m kuak dada dengan catatan
1:08:36s, 200m rampaian (02:15:16s) dan 50m kuak dada (30.48s).

Kejayaan Clement itu turut membantu Masum unggul di kolam renang dengan pencapaian 11 emas 8
perak dan 12 gangsa mengetepikan cabaran sengit skuad MSSM.


Bagaimanapun, dia tidak sempat menerima anugerah itu kerana terpaksa pulang ke Sabah.

Pengurus Masum, Mohd Reduan Yahya berkata, pencapaian Clement amat membanggakan.

“Kami tidak menduga berjaya mengatasi MSSM yang amat hebat dalam acara renang. Namun yang pasti
ketiadaan atlet terbaik mereka yang kini dikatakan menyertai kejohanan remaja membolehkan kami
mengungguli saingan,” katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyampaikan hadiah kepada pemenang serta
merasmikan acara penutup SIPMA 2011 di Dewan Politeknik Merlimau.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik yang juga Yang dipertua Majlis Sukan
Politeknik, Mejar (K) Md Nor Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Jabatan Belia dan Sukan
Melaka, Datuk Gan Tian Loo serta Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi
Dr Saharudin Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sektor Pendidikan, Dr Zahri
Aziz.

No comments:

Post a Comment