Wednesday, June 19, 2013

Nirosh galas cabaran

Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Pelari acara 200meter N Nirosh Kumar berhajat meneruskan rentak kemenangan apabila mendapat lampu hijau beraksi pada Kejohanan Sekolah Asean 2013 (ASG) bermula Sabtu ini di Hanoi, Vietnam.

Kepantasan Nirosh, pelari kelahiran Manjung, Perak mula mendapat perhatian untuk diserapkan dalam skuad senior sejak ditabalkan juara 200m Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-55 di Kuantan, baru-baru ini. Pelari berusia 17 tahun itu menyifatkan lonjakan prestasi dipamer sekarang meningkat lebih baik sejak mengikuti pengajian di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). “Salah satu peningkatan prestasi disebabkan latihan dijalani bersama pelari senior di Bukit Jalil. Pendedahan ini hadir selepas mendapat bimbingan latihan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut.

“Sasaran sekarang adalah beraksi pada ASG Hanoi dalam masa terdekat dan berharap dapat melakukan catatan masa bawah 22 saat. Saya yakin mampu meraih pingat emas atau perak andai dapat berlari di bawah catatan masa itu yang dianggap sebagai halangan terbesar kepada diri sendiri,” katanya, memiliki catatan peribadi terbaik 22.1s.

Kata Nirosh, dia turut bertekad mahu cuba mendapat tempat beraksi pada Sukan SEA ke-27 di Myanmar hujung tahun ini.

“Dengan masa kelayakan ditetapkan 21.08s untuk ke Myanmar, saya tidak mahu mensia-siakannya apabila diberi peluang untuk membuktikan sesuatu. Olahraga adalah sukan paling diminati dan saya datang ke Bukit Jalil untuk menimba pengalaman bertanding pada pelbagai peringkat dan paling awal tiba di garisan penamat dalam kejohanan saya sertai. Cara terbaik adalah bersaing dengan senior kerana mereka mampu menawarkan cabaran terbaik dari segi kepantasan dan tahap kompetitif,” katanya.

Selain berlatih dan bersiap sedia menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada November, Nirosh mengakui mahu membentuk otot lebih mantap.

“Fizikal sekarang perlu diseimbangkan dengan otot yang padat, jadi fokus acara 200m pada penyertaan di Hanoi saya anggap penting. Salah satu diet paling penting adalah susu, tidur mencukupi dan disiplin dalam serba-serbi,” katanya.. Kejohanan ASG 2013 di Hanoi bermula 22 hingga 30 Jun ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Niroshgalascabaran/Article/index_html

 

No comments:

Post a Comment