Elena ratu jalan kaki
Oleh Esme Johari Wahab
Kuantan: Bertubuh kecil tetapi memiliki stamina dan kekuatan mental tiada tandingan! Itulah dapat diperkatakan mengenai atlet jalan kaki Kuala Lumpur, Elena Goh Lin Ying ketika mengungguli acara jalan kaki 5,000 meter perempuan (P18) pada Kejohanan Padang dan Balapan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-55 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.Atlet Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu bukan saja memberikan emas kedua kontinjen Kuala Lumpur, malah turut memecahkan rekod acara itu diciptanya pada MSSM Perlis tahun lalu. Elena tiba di garisan penamat dengan catatan 25 minit 46.13, meninggalkan pencabar lain satu pusingan dengan pemenang perak, Banended Limau Saing dari Sarawak sekadar mencatat 29:02.45s dan rakan sepasukan Elena, Aina Fadhlin Syahmina Abas, meraih gangsa dengan 29:55.44s. Masa dilakukan Elena lima saat lebih pantas daripada rekod MSSM tahun lalu, 25:51.8s. Ia juga kejayaan keempat berturut-turut Elena dalam MSSM sejak 2010 sekali gus muncul atlet pertama memegang dua rekod acara jalan kaki P15 dan P18.
Ditanya mengenai kepantasan dipamerkannya, atlet berusia 17 tahun itu berkata, latihan sistematik di bawah kendalian dua jurulatih, Teoh Boon Lim serta Yuan Yu Fang dan guru sekolah dikenali ‘cikgu Abbas’ melonjak prestasi semasanya sejak beberapa tahun lalu.
“Seronok apabila melihat mereka bertiga tersenyum lebar menanti saya di garis penamat. Rakan kontinjen dan atlet negeri lain turut memberikan motivasi dan semangat membuatkan diri berasa dihargai. Apapun, sasaran saya selepas ini menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Russia, bulan depan,” kata atlet kelahiran Baba Nyonya Melaka itu.
Salah seorang jurulatih, Abbas pernah melatih Elena sewaktu menuntut di Sekolah Rendah Kebangsaan Cina (SJKC) Lai Meng, Jalan Ampang, berkata: “Selama tiga tahun membimbingnya, sejak sekolah rendah, Elena memang serius dan memiliki komitmen tinggi terhadap latihan. Dia memang unggul dengan caranya tersendiri, bercita-cita tinggi. Saya gembira kerana dia juara Sekolah Asean tiga tahun berturut-turut dan juara SUKMA dalam dua kategori 5km dan 10km. Saya harap dia mampu beraksi pada Sukan Olimpik yang menjadi impian utamanya.”
http://www.hmetro.com.my/articles/Elenaratujalankaki/Article/
No comments:
Post a Comment