Tuesday, September 2, 2008

Tiada Niat Bersara


Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my
HEBAT... Shahadan (tengah) mencipta kejutan dengan memenangi pingat emas dalam acara 400m lari berpagar pada temasya Sukan SEA di Manila tiga tahun lalu.
"SAYA akan terus berlari selagi tenaga dan khidmat saya diperlukan."

Demikian jelas jaguh acara 400 meter lari berpagar negara, Shahadan Jamaluddin sebagai mengulas kepada kariernya yang dilihat semakin sepi.

Shahadan juga menjelaskan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk bersara daripada lapangan olahraga, lebih-lebih lagi pada usianya yang baru menjangkau 24 tahun.

"Saya akui, prestasi saya jauh merosot berbanding dua tahun lalu," jelas Shahadan yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA di Manila pada tahun 2005.

"Apa pun, saya perlu menerima hakikat ini kerana menyedari ia berlaku tanpa disengajakan. Saya berdepan kecederaan serius sejak pertengahan tahun lalu sekali gus melenyapkan impian saya untuk beraksi pada Sukan SEA di Korat."

Reputasi Shahadan selaku pemegang rekod kebangsaan dalam acara 400m lari berpagar mula goyah apabila dia diketepikan daripada skuad negara pada temasya Sukan SEA di Korat, Thailand Disember lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tahap kecergasannya yang tidak begitu memuaskan selain insiden kemalangan yang dialami Shahadan sebelum kunjungan ke Korat.

"Sebenarnya, kecederaan pada bahagian paha kiri ini mula saya rasai ketika menjalani latihan di Bulgaria pertengahan tahun lalu.

"Sekarang, kecederaan ini telah pulih sepenuhnya dan saya juga telah kembali berlatih di bawah kendalian jurulatatih Ithnin Mahadi sejak bulan lalu," jelasnya.

Dalam masa yang sama, Shahadan juga mahu membuktikan kemampuan sebenarnya sepanjang tahun ini dengan sasaran utamanya adalah untuk mengatasi catatan peribadi terbaik musim lalu dengan masa 53.28 saat.

"Saya perlu bekerja keras sepanjang tahun ini dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan saya," jelas Shahadan yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 51.28s.

"Semuanya perlu saya lakukan bermula dari sekarang dengan menjadikan kejohanan peringkat kebangsaan sebagai platform untuk mencatat masa terbaik."

Mengulas mengenai kedudukannya yang tidak disenaraikan untuk menjalani latihan selama dua bulan di Kunming, China penghujung bulan ini, Shahadan tetap menerima keputusan itu sebagai sesuatu yang positif.

"Saya belum berada pada prestasi terbaik dan tiada gunanya jika saya mengikuti latihan di China.

"Saya perlu bermula dari bawah lagi sebelum memikirkan untuk pergi dengan lebih jauh," tambah Shahadan.

No comments:

Post a Comment